PERBARISAN TAHUNAN PUTERA MAKTAB TENTERA DIRAJA (MTD) TAHUN 2025
SUNGAI BESI, 10 Jan 26 - Perbarisan Tahunan Putera Maktab Tentera Diraja (MTD) tahun 2025 telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut selaku Pemangku Panglima Angkatan Tentera, Yang Berbahagia Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy bin Ithnain, bertempat di Padang Kawad MTD, Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Siri perbarisan pada tahun ini telah menampilkan lapan detasmen diketuai 437886 Pegawai Rendah Kanan Rayyan Haqeem bin Dato’ Khairul Azmizal dari Kompeni Echo dengan penglibatan keseluruhan seramai 360 Putera yang terdiri daripada 188 Putera tingkatan lima dan 172 Putera tingkatan empat bagi siri pengajian tahun 2025.
MTD merupakan sebuah institusi pengajian yang unik berbanding sekolah-sekolah berasrama penuh dan harian yang lain dengan menawarkan silibus akademik yang dinamik disokong dengan penerapan modul ketenteraan bagi melahirkan seorang pemimpin yang berwibawa, berketerampilan dan bersahsiah mulia sesuai dengan cogan kata “BERKHIDMAT MEMIMPIN”.
Institusi ini juga merupakan sebuah Maktab yang menyedia dan melatih para penuntutnya untuk berkhidmat dalam pelbagai bidang profesional antaranya sebagai bakal Pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pegawai-pegawai kanan perkhidmatan awam dan pemimpin dalam bidang ikhtisas, perdagangan dan perusahaan negara.
Turut hadir semasa majlis perbarisan adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim bin Ali, Panglima Tentera Darat, Jeneral Dato’ Azhan bin Hj. Md Othman, Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato’ Sri Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM, Pegawai-pegawai Kanan Tentera dan Awam.
Pada perbarisan ini Pemangku Panglima Angkatan Tentera telah menyampaikan beberapa anugerah kepada Putera meliputi Anugerah Kompeni Komandan, Anugerah Lembaga Tadbir, Anugerah Pengarah Pengajian, Anugerah Komandan,dan Anugerah Menteri Pertahanan. Senarai Penerima Anugerah seperti berikut :
a. Anugerah Piala Kompeni Komandan. Kompeni yang menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam aspek akademik, sukan dan ketenteraan.
Penerima: Kompeni Delta.
b. Anugerah Lembaga Tadbir 437981 Putera Sarjan Wan Aqlan Muqree bin Wan Azizi dari Kompeni Hotel.
c. Anugerah Pengarah Pengajian. Putera Terbaik Bidang Akademik- 437744 Putera Kanan Muhammad A'lim Uzair bin Mohd Khairi dari Kompeni Alpha.
d. Anugerah Komandan. Putera Terbaik Bidang Ketenteraan. 437886 Putera Rendah Kanan Rayyan Haqeem bin Dato’ Khairul Azmizal dari Kompeni Echo.
e. Anugerah Menteri Pertahanan - Putera Terbaik Keseluruhan. 437832 Putera Rendah Kanan Hazmi Aniq bin Mohd Asri dari Kompeni Delta.